Ijazah Pengorbanan (Buat Mereka Yang Gugur Kerana Negara)
I. Anak itu lahir
di tengah perih-jerih kemiskinan nan mencengkam
yang masih juga begitu saat usia menginjak dewasa
II. Dia tidak punya kepintaran
buat menghuni menara gading
namun dikurnia jiwa satria
yang berpadu
yang berpadu
antara derap sepatu bertapak besi
dan gegak laungan Gempur Wira
katanya hanya itu termampu disumbang insan sepertinya
III. Hari ini si anak kembali
ke desa tempatnya mula menjengah dunia
diiring pilu handai taulan
benarlah bicaranya
lewat warkahnya buatku
"Cikgu, barangkali hari konvo saya
hari di mana Jalur Gemilang berlipat segi tiga
diserah ke tangan ayah dan bonda."
IV. Anak muridku
damailah engkau di sana
cikgu berbangga kerana pernah mendidikmu
walau engkau
bukan seorang graduan
namun lulus cemerlang dalam peperiksaan
taat setia pada agama nusa juga bangsa
hasil karya
Amirul Bahar-Ipoh, Perak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan